Salam semua,
Beberapa hari kanda tidak muncul di sini. Ada beberapa tugas yang memburu masa kanda hingga kanda termengah keletihan.
Hari ini ada beberapa janji yang sedang menanti terutama janji dengan Datuk Adam yang minta kanda segerakan urusan dengannya.
Sebelum itu, nak uruskan juga pertemuan terakhir dengan Miskiah yang sudah mampu melihat dengan matanya sendiri.
Alhamdulillah..DI MATANYA ADA CINTA
kita jumpa lagi
salam sayang.
Saturday, 14 September 2013
Tuesday, 10 September 2013
DI MATANYA ADA CINTA - BAB 3
Kuala Sedenak.
Petang.
Amirul berdiri merenung tanah yang gersang itu. Tanah itu kosong. Itu tanah peninggalan nenek
moyangnya. Kini ia menjadi miliknya. Dulu, ada beberapa batang pokok kelapa.
Dulu masa kecil, dia selalu dibawa ayahnya untuk mengutip buah kelapa. Ada juga
hasilnya. Kini, semua pokok kelapa itu telah tumbang akibat hakisan air laut.
Akar-akar kelapa akhirnya tidak kuat untuk mencengkam bumi. Akhirnya,
pokok-pokok kelapa yang dulu menjadi salah satu hasil pendapatan keluarga
mereka tumbang menyembah bumi.
Angin kering dari laut yang terbentang luas itu menyapu
wajahnya. Panas dan garing. Segaring hatinya ketika itu.
“Orang semua dah jual tanah di kawasan itu, Mirul. Hanya
kita yang tinggal,” kata Pak Nuar pagi tadi sebelum dia keluar ke bandar.
“Kita tak akan jual, ayah. Itu saja harta yang kita
ada,”
“Tapi, apa yang boleh kita buat dengan tanah itu? Dulu
ada pokok kelapa. Dapat juga hasilnya. Sekarang? Daripada terbiar kosong, lebih
baik dijual. Duit tu boleh juga kau buat modal buka bisnes,”
“Ayah, saya tak akan perjudikan nasib saya dengan tanah
sekeping itu. Itu tanah pusaka. Itu kenangan arwah atuk untuk saya. Saya ada
rancangan untuk usahakan tanah itu. Cuma saya perlukan sedikit masa,”
“Tapi..” kata Pak Nuar sedikit ragu-ragu.
“Ayah jangan terpengaruh dengan pujuk rayu dan kata-kata
orang. Tanah itu hak kita. Kitalah yang akan buat keputusannya. Mereka tak
boleh paksa kita..”
“Mirul, kata-katamu itu benar. Tapi, kita kena gunakan
akal untuk berfikir. Mereka memang tak boleh nak paksa kita. Tapi, ayah melihat
dari segi kederat kita. Sejak dulu pun kederat kita tidak cukup untuk usahakan
tanah itu. Sekarang apa lagi. Ayah dah tua. Kau pula..” kata ayahnya sambil
menelan air liur.
“Saya tahu keadaan saya ayah. Saya sedar siapa diri
saya. Tapi saya belum putus semangat untuk terus berjuang,”
“Berjuang untuk apa?”
“Berjuang untuk diri saya. Berjuang untuk tanah ini dan
berjuang untuk keluarga kita,” jawabnya dengan semangat.
“Mirul, jangan nak jadi Mat Jenin. Nanti kau akan
diketawakan orang!” Suara Pak Nuar meninggi.
“Orang memang suka mentertawakan saya. Sejak kecil lagi
saya memang dah diketawakan. Mereka ejek saya. Jadi, saya dah lali dengan
semuanya. Saya akan buktikan kepada mereka nanti,” Amirul mengetap bibir. Dia
tidak mahu mengalah dengan keadaan dirinya.
“Nak buktikan apa?”
“Bahawa saya bukan Mat Jenin. Saya adalah Amirul bin
Anuar yang tak gentar walaupun saya cacat,” jawab Amirul. Dia begitu yakin dan
bersungguh-sungguh. Namun kata-katanya itu membuatkan Pak Nuar mengeluh. Dia
seperti tidak yakin Amirul akan berjaya mengotakan impiannya. Dia tidak nampak
keupayaan Amirul untuk mengusahakan tanah yang kering berpasir itu. Projek apa
yang boleh dibuat?
Untuk bercucuk tanam, langsung tidak sesuai. Tanah itu
bukan sahaja kering dan berpasir, malah punca airnya juga susah. Kalau hendak
dibina chalet untuk disewakan, manalah ada modal. Lagipun, Amirul bukan orang
yang sempurna. Dia OKU. Pelajaran pun tidak setinggi mana. Hanya setakat Sijil
Pelajaran Malaysia sahaja.
“Ayah tak yakin dengan keupayaan saya kan?”
Diam. Mata Pak Nuar merenung awan. Dia cuba sembunyikan keraguannya.
Kalau boleh dia tidak mahu Amirul tahu apa yang dirasanya.
“Percayalah ayah. Saya akan usahakan tanah ini seperti
yang diwasiatkan oleh arwah atuk,” sambung Amirul, semakin bersungguh. Pak Nuar
masih diam. Dia tidak tahu apakah perkataan yang sesuai untuk dikatakan agar
Amirul tidak tersinggung hati.
Amirul melepaskan keluhan, berat dan mendesah. Dia faham
erti diam ayahnya. Perasaan ragu-ragu ayahnya itu memang tidak mustahil. Semua
orang akan berperasaan begitu melihat keadaan dirinya.
“Aku mesti buktikan..” bisiknya perlahan. Namun bisikan
itu membuatkan Pak Nuar menoleh dan merenung lembut ke arah Amirul. Ada
gumpalan simpati di sebalik renungan itu.
Amirul melepaskan pandangan ke arah tanah yang kering
itu. Kenapa tiba-tiba tanah yang kering dan gersang itu menjadi rebutan? Sudah
berpuluh tahun, tidak ada yang menjeling pada tanah itu dan tanah-tanah di
sekitarnya. Kenapa baru sekarang mereka berminat untuk mengusahakannya?
Dia teringat pada pesan atuknya, “Mirul, atuk berikan
tanah ini kepada Mirul. Atuk tahu tanah ini kurang subur dan kurang bernilai.
Mungkin sekarang, ia tak bernilai. Tapi satu hari, ia akan menjadi rebutan.
Jagalah tanah ini. Hanya ini yang atuk ada untuk Mirul,”
Dia ingin memijak tanah itu dengan kedua kakinya. Tapi
dia tidak berkaki dua. Kakinya hanya satu. Hanya sebatang tongkat yang menjadi
ganti kakinya. Tongkat itulah yang membantunya melangkah di bumi Allah ini.
Alhamdulillah, kerana dia diberi sebelah kaki. Ada orang
terus tidak berkaki, tetapi masih mampu meneruskan hidup.
Dia mengepal segenggam tanah. Kemudian menciumnya.
“Tanah ini milikku. Ia akan kekal sebagai hakku. Ia
tidak akan menjadi milik orang lain melainkan tetap jadi milikku!” ucapnya
dengan semangat.
Daripada tanah pusaka di tepi pantai itu, Amirul
berjalan pulang. Namun, seketika dia teringat untuk singgah di hujung kuala.
Di tepi kuala terdapat sebatang pokok kelapa yang sudah
lama tumbang. Miskiah selalu duduk di situ. Walaupun Miskiah itu buta, namun
dia suka duduk di situ sambil merenung ke langit seolah-olah dia mampu melihat keindahan
langit.
Memang benar. Dari jauh dia nampak Miskiah duduk berjuntai
kaki di atas batang kelapa yang tumbang itu. Amirul tersenyum senang.
Miskiah duduk dengan tenang. Seperti di situlah tempat
yang paling indah dan damai. Telinganya
menangkap bunyi deruan ombak dari lautan berdekatan. Dia mendongak ke langit,
menengadahkan wajah. Kata orang, awan ada di langit. Putih macam kapas. Kata
orang lagi, burung akan terbang berkawan-kawan di celah awan. Dia ingin melihat
awan itu. Dia ingin melihat burung-burung itu. Tangannya tergapai-gapai.
Cantikkah?
“Mis, tengok apa tu?” tegur Amirul dari belakang.
Miskiah menoleh dan mencari-cari. Dia menadah kuping
telinganya mencari arah suara Amirul.
“Mirul di sini,” Amirul menyentuh tangan Miskiah.
“Mis nak tengok awan. Mis nak lihat burung. Mis nak
tengok matahari terbenam. Kata orang alam ini cantik. Mis nak tengok. Tapi..”
suara Miskiah terhenti. Dia mendongak ke langit semula. Sejak kecil, Amirul
selalu beritahu bahawa kalau kita mendongak ke atas di situ ada langit. Kalau
kita tunduk ke bawah, di situ dipanggil bumi.
“Awan putih bertompok hitam hari ni. Ada tanda-tanda
hari nak hujan. Burung pula memang sedang terbang berkawan-kawan. Dengarlah
bunyi bising tu,” jawab Amirul seperti membuat laporan. Miskiah tersenyum
senang. Amirul memang orang yang selalu setia dan rajin memberi maklumat.
“Apa yang mereka rebutkan ya Mirul?”
“Entahlah Mis. Nanti Mirul panggil ketua mereka dan
siasat ya,” jawab Amirul cuba bergurau. Kemudian dia ketawa kecil.
“Beritahu dia, tolong amankan anak buahnya itu. Tolong
jangan bergaduh dalam dunia yang kecil ini,” kata Miskiah dengan ketawa juga.
Petang menjadi begitu ceria dan damai.
“Mana Mis tahu dunia ini kecil?” Amirul menduga.
Miskiah tidak segera menjawab. Sebaliknya dia mendongak
ke langit sekali lagi. Gelap. Matanya tidak mampu melihat awan. Juga mentari
petang. Juga burung-burung yang kata Amirul berterbangan pulang,
berkawan-kawan. Kalau Amirul berbohong mengenai keadaan langit ketika itu, dia
pun tidak tahu.
Hanya telinganya menangkap bunyi kicauan burung-burung.
Kicauan burung yang banyak. Bukan seekor dua. Mungkin berpuluh-puluh. Mungkin
juga beratus-ratus ekor.
Amirul rasa bersalah. Soalan itu disangka telah
menyentuh hati Miskiah.
“Mis, Mirul minta maaf..” kata Amirul perlahan.
“Kenapa nak minta maaf?” Serta merta Miskiah menoleh ke
arah Amirul. Walaupun dia tidak melihat, tapi dia tahu Amirul ada di situ.
Desir suara Amirul datang dari arah itu.
“Mungkin Mirul tersalah cakap,” jawab Amirul dengan nada
kesal.
“Mirul tak salah. Mis yang selalu berkhayal jauh tanpa
terfikir pada ketidak-upayaan Mis. Mis berkhayal melihat dunia. Mis mimpikan
bunga-bunga yang cantik beraneka warna..”
“Mis, seperti Mirul juga selalu berkhayal untuk memakai kasut sukan atau sekurang-kurangnya
capal kulit buatan tangan,” Amirul memotong cakap Miskiah. Dia tidak mahu
Miskiah hanyut melayan rasa.
“Macam yang Mirul tengok di pameran barangan kulit di
Plaza Angsana hari tu?” Miskiah bertanya dengan senyum. Mendung di wajahnya
berubah rona. Hati Amirul lapang. Sejak kecil dia tidak suka melihat wajah
Miskiah muram dan sedih. Dia sanggup melakukan apa saja asal Miskiah senyum dan
ketawa.
“Mis boleh bayangkan kalau Mirul pakai kasut atau
capal?” tanya Amirul.
“Macam mana Mis nak bayangkan? Melihat kasut pun Mis tak
pernah. Macam mana Mis nak bayangkan, melihat kaki Mirul pun Mis tak pernah,” kata
Miskiah. Ketawa Amirul pecah.
“Mirul yang cerita, kaki Mirul hanya satu. Tapi kalau
Mis nak bayangkan kaki Mirul ada dua. Bolehkan?” tanya Miskiah.
Kali ini giliran Amirul terdiam. Dia tersedar dari
sebuah kenyataan.
“Mirul, Mis minta maaf,” kata Miskiah perlahan.
“Untuk apa?” Amirul segera menatap wajah Miskiah.
“Mungkin kata-kata Mis tadi menyakitkan hati Mirul,”
jawab Miskiah. Amirul segera mencubit lengan Miskiah.
“Kenapa pula ni? Sakit tau!” Miskiah menjerit, kemudian ketawa.
“Mis sengaja nak balas cakap Mirul tadi kan?”
“Taklah. Mis cakap yang benar,” balas Miskiah,
Ketawa mereka usai. Amirul melepaskan pandangannya ke
arah laut. Ada sekumpulan bangau putih sedang mencari makan di tepi pantai.
Ada yang berterbangan. Sungguh cantik
panorama alam.
“Mirul pun kadang-kadang kuat berkhayal. Melihat kasut
yang cantik dan capal yang beraneka, membuatkan Mirul lupa pada kaki Mirul
ini,”
“Tak apalah. Syukur kepada Allah kerana kita masih mampu
berkhayal,” kata Miskiah, memujuk. Amirul tersenyum senang. Dia merenung wajah
Miskiah. Dia senang dengan wajah itu.
“Mirul dari mana?” tanya Miskiah.
“Tadi Mirul ke bandar. Kemudian pergi melihat-lihat
tanah Mirul di hujung sana tu. Siapa hantar Mis ke sini?” Amirul menjawab,
kemudian menyoal.
“Mis datang sendiri. Bukannya jauh sangat kan?”
“Mis, berapa kali Mirul pesan jangan jalan sendiri.
Cakap dengan Mirul kalau nak ke mana-mana,” Amirul bersuara tegas. Seperti
sebuah arahan. Seperti juga sebuah amaran.
“Sampai bila Mirul nak jadi pengasuh Mis? Dari kecil,
Mirul dah bersusah payah untuk Mis. Biarlah Mis cuba hidup berdikari. Satu hari
pun kita akan berpisah, beri peluang Mis belajar dari sekarang,” kata Miskiah,
minta pengertian.
“Berpisah? Mis nak ke mana?” tanya Amirul dengan curiga.
Dia tidak sanggup membayangkan hidup tanpa Miskiah. Sejak dia mula mengenal
dunia, hanya Miskiah orang yang paling rapat dengannya. Kalau Miskiah sudah
tiada, entah apa yang akan jadi pada semangatnya. Selama ini dia bergantung
semangat dengan Miskiah.
“Yalah. Satu hari Mirul akan jadi suami orang. Ketika
itu, mana boleh nak jaga Mis lagi,” ujar Miskiah, selamba. Dia sebenarnya ingin
menduga Amirul. Dia ingin mencari kebenaran kata-kata Bik Suripah beberapa hari
yang lepas.
Diam. Amirul menelan air liur. Dia ingin katakan bahawa
dia tidak akan kahwin kalau bukan dengan Miskiah. Dia ingin ucapkan bahawa hati
dan perasaannya tidak pernah terbuka untuk orang lain melainkan Miskiah.
Hanya Miskiah yang akan menjadi isterinya. Bermakna dia
akan menjaga Miskiah sampai bila-bila selagi hayat dikandung badan. Tapi,
mahukah Miskiah menjadi isterinya? Selama ini pun, mereka tidak pernah
berbincang soal hati, soal perasaan dan apalagi soal kahwin!
Amirul terkising malu.
“Kenapa Mirul diam? Tak betulkah cakap Mis tadi?”
“Ya..ya..betul. Mis pun mungkin akan berkahwin dengan
mat saleh tu dan tinggalkan Mirul,” jawab Amirul selamba.
“Tengok, dia nak berdalih pula,” kata Miskiah sambil
tangannya meraba-raba mencari lengan Amirul. Ketika itu Amirul sudah menjauhkan
dirinya dari Miskiah. Dia ketawa dan membiarkan tangan Miskiah tergapai-gapai
mencarinya.
“Takut ya?”
“Taklah. Nah! cubitlah sepuas hati Mis. Mirul rela,”
Amirul menarik tangan Miskiah dan meletakkan di lengannya. Miskiah mencubit
lengan itu. Amirul mengaduh disertai tawa riang Miskiah.
“Mirul ke bandar buat apa?” tanya Miskiah selepas ketawa
mereka usai.
“Ambil borang,”
“Borang apa?”
“Ada persidangan untuk orang-orang macam kita di Kota Bharu
hujung bulan ini. Kita mesti pergi,” jawab Amirul dengan semangat.
“Macam mana Mis nak pergi. Tempat tu jauh sangat. Mirul
sajalah yang pergi,” kata Miskiah. Dia rasa dia tidak patut menyusahkan Amirul.
“Tidak. Mirul nak pergi dengan Mis. Wak pun dah
izinkan,” balas Amirul dengan tegas.
“Mirul, Mis tak upaya nak pergi ke tempat yang
jauh-jauh,”
“Nak kira upaya, Mirul lagi tak upaya. Kaki Mirul
bukannya kuat sangat untuk berjalan jauh-jauh,” balas Amirul pula.
“Kalau macam tu, tak payahlah pergi. Biarkan orang lain
yang upaya saja pergi,”
“Dah tentu persidangan ini untuk orang kurang upaya,
macam kita. Siapa orang yang upaya nak datang?” tanya Amirul pula. Miskiah
ketawa. Dia rasa kelakar dengan ungkapan kata-kata Amirul.
.
.
Sunday, 8 September 2013
DIA DALAM KENANGAN..
Salam sejahtera aduhai kekanda dan adinda-adindaku semua,
Kanda ucapkan terima kasih atas kesudian kalian meluangkan masa singgah di blog kanda ini.
Kanda ucapkan terima kasih atas kesudian kalian meluangkan masa singgah di blog kanda ini.
Daripada malam tadi hingga kini, perasaan kanda sedang dibuai rindu kepada sesaorang. Sudah lama melupakan dia kerana dia sudah tiada di dunia ini. Dia kembali ke pangkuan Illahi kerana sakit kanser.
Hidup dan mati memang kehendak ALLAH. Namun, yang ingin kanda kongsi ialah sikap suaminya semasa dia terlantar sakit hingga dia mati.
Lelaki rakus itu (Maaf terpaksa berkasar) tidak menghantarnya ke hospital untuk rawatan. Dalam masa yang sama, dia menjalin hubungan cinta dengan anak dara ( yang kini isterinya) ketika sahabat kanda itu sedang terlantar...
Aduhai..bayangkan dia terpaksa mengerang kesakitan selama setahun tanpa rawatan. Pernah kanda menangis dan memujuknya untuk ke hospital.
"Biarlah kalau dia tak nak bawa. Adinda ada untuk membawa kanda. Biarlah dinda keluarkan belanja sendiri untuk rawatan. Sekurang-kurangnya kanda dapat tidur dan tidak kesakitan,"
"Tidak adindaku. Kanda tahu niat adinda baik dan adinda ikhlas. Namun, dia sudah memberi perintah bahawa kaki kanda ini tidak boleh melangkah pintu. Kanda tak diizin keluar. Dan kanda tidak mahu menjadi isteri yang derhaka. Biarlah kanda menanggung kesakitan ini daripada kanda terpaksa menerima laknat ALLAH,"
Ya ALLAH..sungguh setia dan taat dia kepada suaminya.
Akhirnya dia menderita kesakitan. Akhirnya dia menghembuskan nafas terakhir tanpa rawatan. Akhirnya dia meninggalkan anak-anak yang amat memerlukan kasih sayangnya...
Pada hari kematiannya, kanda tidak sempat menemuinya. Dia pergi di subuh hening..ketika anaknya menghubungi kanda, azan subuh sedang berkumandang.
Kanda menunaikan solat subuh dengan longlai. Sungguh tidak bermaya dengan air mata yang tidak henti mengalir.
Lalu usai solat, kanda bergegas ke rumahnya. Jenazah yang terbaring kaku, kanda lihat terpejam dengan tenang, seolah-olah tersenyum reda!
"Kalau kanda pergi satu hari nanti, adindaku jangan menangis. Anggapkan kanda sudah terlepas dari seksa dunia dan menuju ke nikmat akhirat," itu pesannya setiap kali kami bertemu. Alangkah..tidak kuat untuk kanda menahan air mata ini dan taat pada pesannya.
ALLAH sahaja yang tahu kepiluan yang sedang menyucuk dada. Kanda beristighfar. Kanda tarik sebuah Al-Quran yang ada di sisi kepalanya. Kanda mengaji..dan terus mengaji untuk menutup ruang duka yang ada.
Akhirnya sampai masa untuk dia dimandi dan dikafankan. Ketika itu, tidak ada kekuatan lagi pada diri ini. Lalu kanda bangun, mencium kedua pipinya yang sejuk itu dan melangkah meninggalkan rumah itu. Kanda tidak sanggup melihat dia dibawa pergi..biar kanda yang meninggalkannya sebelum melihat kereta jenazah membawanya pergi.
Semuanya berlaku lama dahulu. lebih 10 tahun..memang sukar nak lupakan dia kerana dia adalah sahabat yang kanda rasa seperti saudara sendiri.
Namun, kini semuanya seperti baru semalam berlaku apabila malam tadi kanda berjumpa dengan adik kandungnya yang mirip wajahnya...ya ALLAH..kami duduk di satu sudut dalam majlis itu dan menangis...
Mungkin sudah sampai masanya kanda menulis mengenai cinta dan kesengsaraannya. Namun, adakah kanda kuat untuk menyudahkannya??
Salam.
Malam tadi, kanda bertemu dia di sebuah majlis. Sebenarnya
Saturday, 7 September 2013
DI MATANYA ADA CINTA - BAB 2
Malam itu, Miskiah mengeluarkan
buku-buku yang dibeli siang tadi. Juga jambangan bunga yang diberikan Amirul
itu.
“Cantiknya bunga, Mis beli kat
mana?” tanya Bik Suripah, membelek jambangan yang ada di tangan Miskiah.
“Mis tak beli, mak. Ada orang bagi. Mak, kalau
orang bagi bunga tanpa sebab tu kenapa?”
Bik Suripah tersenyum nipis. Rambut Miskiah
dibelai dengan penuh kasih sayang. Seluruh rasa kasih tumpah. Seluruh rasa
sayang tercurah tulus. Selain Wak Joyo, hanya Miskiah yang ada dalam hidupnya.
“Setiap orang memberi mesti ada sebabnya,”
“Tak ada sebab. Katanya, saja nak beri,” kata
Miskiah lagi. Dia mula membelek-belek kuntuman bunga tu seolah-olah sedang
mengira kelopaknya.
“Siapa yang beri, Mis?” Bik Suripah rasa
curiga. Dalam zaman ini dia mendengar banyak cerita orang memperdayakan orang
lain melalui hadiah dan buah tangan. Dia bimbang ada orang yang mengambil
kesempatan atas kecacatan Miskiah.
“Mirul, mak,” jawab Miskiah dengan senyum
senang. Bik Suripah ikut tersenyum. Dadanya rasa lapang. Apa yang dibimbanginya
hilang.
“Kalau Mirul yang bagi, ada maknalah tu!”
“Apa maknanya mak?” tanya Miskiah, polos. Bik
Suripah memeluk bahu Miskiah dengan senyum. Di dalam hatinya berbisik, ‘Mis
bukan saja buta mata, tapi juga buta cinta,’
“Maknanya, dia cuba nak tunjukkan perasaan dia
kepada Mis. Mis dah berkawan dengan Mirul sejak kecil lagi. Tak pernah
berpisah. Tak pernah berjauhan. Mis tak rasa apa-apa ke selama ini?” Bik
Suripah menduga.
“Rasa apa mak?” Miskiah terngadahkan mukanya
ke arah Bik Suripah. Dia rasa hairan.
“Rasa kasih, rasa sayang atau rasa cinta?”
tanya Bik Suripah.
Diam. Miskiah terkebil-kebil mencari jawapan.
“Mis, mak dan bapak suka sangat dengan Mirul
tu. Dia baik dan berbudi. Kalau Mis sayangkan dia, apa kata Mis terima saja dia
sebagai suami,” kata Bik Suripah dengan jujur. Dia berkata dari hati seorang
ibu.
“Mak? Apa ni? Bila pula Mirul tu melamar Mis?”
“Mis, mak ni orang tua. Riak ikan di air, mak
dah tahu jantan betinanya,”
“Itu riak ikan mak. Riak Mirul, mak nampak?”
tanya Miskiah, senyum.
“Bunga ni adalah riak hatinya. Inilah
permulaannya. Mirul tu nak luahkan isi hatinya pada Mis. Mirul tu nak tunjukkan
rasa cintanya,” jawab Bik Suripah bersungguh-sungguh.
Miskiah terdiam. Dia terpegun dengan kata-kata
Bik Suripah. Kadang-kadang dia rasa Bik Suripah itu bukan sekadar suri rumah
yang tinggal di pendalaman itu. Cara berfikir ibunya amat luas dan positif.
“Mis fikir apa ni?”
“Mis cuba nak ingat, apa yang Mirul cakap masa
dia berikan bunga ni,”
“Apa yang dia cakap?”
Miskiah menggelengkan kepala perlahan. “Tak
ada apa yang aneh. Dia cuma kata dia nak berikan bunga ni pada Mis. Bila Mis
tanya kenapa? Dia jawab, saja,” Miskiah mengajuk cakap Amirul. Bik Suripah
diam.
“Mak, Mirul tak pernah cakap apa-apapun,”
ulang Miskiah.
“Memang dia tak cakap. Dan Mis pun tak nampak
wajah dia ketika bercakap dengan Mis,” kata Bik Suripah pula.
“Yalah, Mis ni buta. Macam mana Mis nak
nampakkan? Macam mana wajah dia mak?” Miskiah tiba-tiba rasa teruja. Tangan Bik
Suripah dipegangnya.
“Mak nampak dia tu cintakan Mis. Bapak pun
kata begitu. Cara dia layan Mis. Cara dia renung Mis. Cara dia bercakap dengan
Mis, kami yakin dia memang amat sayangkan Mis,”
Miskiah termenung. Dia tidak dapat melihat.
Gerak geri dan tingkah laku Amirul tidak dapat dilihatnya. Yang menghubungkan
mereka hanya suara Amirul. Dan Amirul pula tidak pernah menyatakan isi hatinya.
Tidak pernah.
“Betulkah mak?” Miskiah ragu-ragu.
“Buat apa mak nak tipu Mis. Mis macam mana?”
“Macam mana apa, mak?”
“Rasa hati Mis pada Mirul tu?”
Diam. Miskiah tunduk. Bik Suripah mampu
membaca isi hati anak gadisnya. Walaupun bibir Miskiah tidak menyebutnya, namun
dari gerak gerinya selama ini Bik Suripah tahu ada sebuah perasaan halus sedang
bercambah.
“Mak dan bapak akan merestui perasaan Mis
itu,” kata Bik Suripah sambil menarik tubuh Miskiah ke dalam pelukannya.
Miskiah tidak menjawab. Dia meraba-raba dan
membelek buku yang dibelinya. Mata Bik Suripah terpandangkan buku itu.
“Mis nak buat apa dengan Buku Resepi dan Buku
Belajar Mengait ni?”
“Mis nak belajar memasak dan belajar mengait,”
jawab Miskiah selamba. Bik Suripah tergamam. Wajah Miskiah diteliti dan
direnung lama. Dia keliru bercampur pelik.
“T..t..tapi macam mana?” Bik Suripah tidak
mampu menutup rasa kelirunya.
“Mak, Mis tahu Mis buta. Mis juga tahu Mis ni
kuat berangan-angan tanpa mengira kemampuan Mis. Tapi, Mis kena cuba dan
belajar. Mis tak boleh jadikan kecacatan Mis sebagai sebab untuk Mis tak
pandai. Sampai bila Mis nak harapkan mak memasak untuk Mis?”
“Tapi, ini buku resepi makanan barat. Kenapa
mesti nak belajar masakan barat? Belajarlah dulu masakan Jawa atau masakan
Melayu,” jawab Bik Suripah. Miskiah ketawa. Bik Suripah semakin rasa pelik.
“Kenapa Mis ketawa ni?”
“Mirul kata sebab Mis nak kahwin dengan mat
saleh,”
“Hah? Mat Saleh anak Wak Dol tu?”
“Bukan yang tu. Mat saleh, orang putih,” jawab
Miskiah, cuba menerangkan bersungguh-sungguh.
Bik Suripah ikut ketawa. “Ada-ada saja Mirul
ni,”
“Mak, nanti mak ajarkan Mis masak ya,” Miskiah
seperti merengek.
“Masak sambal tempe mak tahulah. Nak suruh mak
ajar masak masakan mat saleh ni, manalah mak tahu,” kata Bik Suripah.
“Mak baca saja apa yang ditulis dalam buku tu.
Semua bahan dan cara-cara membuatnya ada ditulis. Mak kan boleh baca? Bukan
macam Mis ni, tak nampak nak baca. Kalau dia tulis dalam tulisan braille,
bolehlah Mis baca,” kata Miskiah pula.
“Perlukah nak belajar masakan ni Mis? Masakan Melayu pun
Mis belum pandai lagi,” Bik Suripah meluahkan rasa ragu-ragu yang membendung
hatinya. Terlalu aneh permintaan Miskiah.
“Mis nak mulakan dengan masakan Melayu dulu. Nanti
sekali-sekala kalau kita dah bosan makan masakan Melayu, kita tukarlah kepada
masakan barat ni,”
“Tapi, kenapa masakan barat?” Bik Suripah semakin tidak
faham.
“Entahlah mak. Mata Mis memang tak pernah tengok macam
mana rupa masakan barat tu. Tapi bila Mis dengar orang bercerita di TV, Mis
rasa macam sedap je. Entah-entah Mis ni keturunan mat saleh tak mak?” Miskiah
bergurau. Ketawanya mengekek segar.
Namun, wajah Bik Suripah serta merta berubah. Gurauan
Miskiah itu langsung tidak lucu. Wajah Miskiah yang iras-iras mat saleh. Sekali
pandang, ia iras-iras Pakistan itu seperti menggamit semua kenangan silam.
KITA YG MENGATUR MASA..
Alhamdulillah, sepagi-pagi ini kanda sejahtera dengan ilham yang begitu banyak. Apapun, masa selalu mencantas semuanya.
Sebagai penulis sepenuh masa, kanda juga tidak terlepas dari tugas-tugas isteri sepenuh masa, ibu sepenuh masa dan nenek sepenuh masa.
Mungkin bunyinya kelakar. Tidak.
Sepenuh masa bermaksud kanda tidak bekerja dengan mana-mana syarikat melainkan bekerja untuk diri sendiri dan untuk keluarga.
Seawal pagi, isteri akan menguruskan suami ke tempat kerja. Kemudian bertugas pula memantau cucu yang keletah. Mandi, sarapan dan biarkan mereka bermain. Selesai semuanya, baru duduk di meja keramat mengadap laptop yang setia untuk menyambung kata-kata yang belum selesai.
Mungkin ada yang tanya, bagaimana kanda mampu melakukan semuanya?
Semuanya kerana jadual yang disusun. Kita yang mengatur masa. Jangan biarkan masa mengatur hidup kita..
Salam sayang.
Sebagai penulis sepenuh masa, kanda juga tidak terlepas dari tugas-tugas isteri sepenuh masa, ibu sepenuh masa dan nenek sepenuh masa.
Mungkin bunyinya kelakar. Tidak.
Sepenuh masa bermaksud kanda tidak bekerja dengan mana-mana syarikat melainkan bekerja untuk diri sendiri dan untuk keluarga.
Seawal pagi, isteri akan menguruskan suami ke tempat kerja. Kemudian bertugas pula memantau cucu yang keletah. Mandi, sarapan dan biarkan mereka bermain. Selesai semuanya, baru duduk di meja keramat mengadap laptop yang setia untuk menyambung kata-kata yang belum selesai.
Mungkin ada yang tanya, bagaimana kanda mampu melakukan semuanya?
Semuanya kerana jadual yang disusun. Kita yang mengatur masa. Jangan biarkan masa mengatur hidup kita..
Salam sayang.
Friday, 6 September 2013
DI MATANYA ADA CINTA - BAB 1
City Square,
Johor Bahru.
Mereka berjalan beriringan. Mereka berjalan berpimpinan.
Mereka beriring rasa. Mereka berpimpin harapan.
Namun bukan berpimpin tangan, tapi berpimpin tongkat.
Amirul bertongkat kaki. Miskiah pula bertongkat tangan. Miskiah berjalan dengan
langkah sempurna dalam dunianya yang gelap. Amirul pula berjalan dengan
langkahnya yang tempang dalam dunia yang penuh warna alam.
“Kita dah sampai di City Square, Mis. Mis nak ke kedai
mana?”
“Banyakkah kedai di sini?” tanya Miskiah dengan senyum,
memperli.
“Macam-macam kedai ada. Mis nak pergi ke kedai cermin
mata atau ke kedai bulu mata palsu?” jawab Amirul bergurau. Miskiah mengilai,
ceria.
“Kan semalam, Mirul yang ajak Mis temankan Mirul ke
kedai kasut?” Miskiah membalas gurauan itu dengan ketawa yang belum usai.
Amirul tersenyum senang. Melihat wajah Miskiah ceria begitu, hatinya semakin
diruntun sayang.
“Mis nak beli apa?” Amirul bertanya selepas beberapa
kedai sudah mereka lintasi.
“Mula-mula Mis nak ke kedai buku. Mis nak beli buku
resepi,”
“Mis? Mirul serius ni! Mirul tak nak buang masa
berpusing-pusing dan merayau tanpa tujuan di sini,” Amirul bersuara tegas. Dia
melihat beberapa mata menjeling mereka. Mungkin dalam hati orang yang sempurna,
ada rasa anih dan lucu melihat mereka. Itu yang difikirkan oleh Amirul.
“Eh! Bila pula Mis bergurau. Betullah. Memang dari rumah
lagi, Mis dah niat nak beli buku masakan. Kenapa? Orang buta macam Mis tak
boleh beli buku tu?” tanya Miskiah sambil menoleh ke arah desir suara Amirul.
“Jangan salah faham. Mirul tak kata macam tu. Cuma,
macam mana Mis nak baca. Buku tu bukan dalam huruf braille. Buku tu untuk orang
celik sahaja. Mis nak buat apa dengan buku tu?”
Miskiah senyum. Dia faham apa yang ada di hati Amirul.
Dia mengerti erti keraguan itu.
“Mis nak belajar memasak,” jawab Miskiah selamba.
“Mis?”
“Kenapa? Orang buta tak boleh memasak?” Sekali lagi
Miskiah menoleh.
Amirul diam. Dia tidak mahu berdebat dengan Miskiah
lagi. Dia bimbang akan mengeruhkan suasana mesra yang ada. Tanpa berlengah, dia memimpin Miskiah dan
berjalan ke arah sebuah kedai buku yang ada di situ. Tanpa disuruh juga dia
memimpin Miskiah ke arah rak buku yang penuh dengan bermacam buku resepi.
“Mis nak cari buku resepi apa? Ada banyak ni,” kata
Amirul.
Miskiah termenung dan berfikir. “Mirul tengok, ada buku
resepi masakan barat tak?”
Amirul terteleng, hairan. Namun dia tidak berani untuk
meluahkan rasa hairannya. Dia terus mencari buku yang Miskiah sebutkan.
“Nah, ini ada satu,” Amirul menarik tangan Miskiah dan
meletakkan sebuah buku resepi berkulit keras ke atas tangannya.
Miskiah meraba-raba. Dia mendakap buku itu kemudian
mengucupnya.
“Baiklah, Mis nak buku ni. Berapa harganya?”
Amirul membelek. “Dua puluh lima ringgit,” ujar Amirul.
Miskiah tersenyum. Dia terus mengelek buku itu dengan wajah gembira.
“Mis nak beli buku apa lagi?”
“Buku belajar mengait,” jawab Miskiah, selamba.
“Mis, kenapa buku yang pelik-pelik yang Mis nak beli
ni?” tanya Amirul dengan rasa pelik
“Apa peliknya? Itu buku untuk orang perempuan. Mirul
mana tahu itu semua,” jawab Miskiah dengan ketawa kecil.
“Mis dah nak kahwin ke?” tanya Amirul dengan ketawa
juga.
“Kahwin?”
“Yalah. Habis tu, Mis nak belajar memasak. Mis nak
belajar mengait. Macam nak buat persediaan untuk berkahwin je..”
“Siapalah yang nakkan Mis ni. Rupa tiada miskin pula,”
Miskiah seperti merintih. Hati Amirul tersentuh.
“Mana tahu ada mat saleh yang nakkan Mis,”
“Mat saleh?” Miskiah hampir terjerit. Kemudian dia
menutup mulutnya dari ketawa yang menyeringai.
“Habis tu, Mis nak belajar masakan barat. Mis nak
belajar mengait. Zaman sekarang ni, yang pakai baju kait itu hanya orang putih.
Sebab di negeri mereka sejuk, mereka perlukan baju tebal-tebal,”
“Sudahlah, jangan Mirul nak mengarut. Rupa mat saleh pun
Min tak pernah tengok, apa lagi nak kahwin dengan mat saleh. Merapu je Mirul
ni!”
Bhg2:
Amirul menyengih. Dia rasa kelakar membayangkan Miskiah
berkahwin dengan lelaki mat saleh. Tapi sengihnya tidak lama. Tiba-tiba sengih
itu hilang. Wajah Miskiah yang cantik itu direnungnya. Miskiah hanya buta.
Lain-lain anggota tidak ada cacat cela. Dia gadis yang cantik dan berbudi
bahasa. Kalau dia tidak buta, sudah tentu ramai anak muda kampung yang
berlumba-lumba untuk mendapatkan cinta Miskiah.
“Mirul masih fikirkan mat saleh tu?” sergah Miskiah
sambil meraba-raba lengan Amirul dan mencubitnya.
“Adui! Kenapa Mis cubit Mirul ni?”
“Mis nak sedarkan Mirul dari bermimpi di siang hari,”
“Kenapa?”
“Orang buta macam Mis ni, orang Melayu pun tak ada yang
sudi inikan pula mat saleh. Lagipun, dah kurangkah lelaki Melayu, sampai Mis
kena pilih lelaki asing? Atau memang lelaki bangsa sendiri tak suka pada gadis
buta macam Mis ni..?”
“Suka..suka..” Dengan cepat Amirul menjawab. Dia menoleh
ke kiri dan kanan, bimbang kalau ada yang mendengar kata-kata Miskiah itu.
“Siapa yang suka?”
“Mirul yang suka. Mirul suka Mis..” Tanpa segan, Amirul
mengaku. Miskiah tersipu malu. Wajahnya berona cinta. Amirul semakin senang
dengan rona itu. Dia merenung wajah Miskiah, lama.
“Kenapa Mirul renung Mis macam tu?” tanya Miskiah.
Amirul gugup. Kemudian dia dihurung hairan.
“Macam mana Mis tahu Mirul renung Mis?” Miskiah
terpinga-pinga.
“Mis agak saja. Jadi, betullah Mirul sedang renung Mis?
Mirul ni suka ambil kesempatan,”
“Ambil kesempatan macam mana?”
“Mirul tahu Mis tak dapat melihat, Mirul curi-curi
renung Mis. Mirul ni pencuri tau!” Miskiah mencari bahu Amirul untuk dicubit.
Namun dengan segera, Amirul menarik tangan itu dan menyerahkan lengannya.
Miskiah mencubit, manja. Amirul tersenyum-senyum dengan
cubitan itu.
“Tak sakit ke?”
“Sakit,”
“Habis, tak menjerit pun?”
“Kalau Mirul menjerit, Mis mesti kuatkan cubitan,”
Amirul menjawab dengan ketawa. Miskiah juga ikut ketawa. Sungguh segar.
Sebuah buku belajar mengait dicapai dari rak.
“Nah ini bukunya, Mis,” Amirul menarik tangan Miskiah
dan menghulurkan sebuah buku. Dengan cepat, Miskiah meraba-raba buku itu dengan
kuntuman senyum
“Mirul tengok, buku ni bagus tak?”
“Nampak macam bagus, sebab ada diajar semua dari awal
hingga akhir. Gambar-gambar pun terang dan jelas. Senang nak belajar. Rasa
macam Mirul pun boleh buat ni,” jawab Amirul sambil membelek-belek buku yang
berwarna-warni itu.
“Kalau elok di mata Mirul, eloklah di mata Mis,” kata
Miskiah pula.
“Kenapa macam tu?” Amirul sengaja menduga.
“Sebab mata Mirul tu dah jadi mata Mis sejak kita kecil
lagi. Mis tahu semua warna alam kerana mata Mirul,” jawab Miskiah dengan jujur.
Memang dia tidak berbohong. Dia berkata tulus. Sejak kecil, bersekolah dan
dewasa dengan bantuan mata Amirul.
“Kalau macam tu, jomlah. Kita bayar dua buah buku ni,”
ajak Amirul sambil menarik lengan Miskiah perlahan.
Miskiah akur. Rak-rak buku ditinggalkan untuk ke meja
juruwang. Tidak lama kedai buku itu mereka tinggalkan. Langkah diatur keluar
dari situ.
“Mis tunggu di sini sekejap. Jangan ke mana-mana. Tunggu
sampai Mirul datang,” kata Amirul.
“Mirul nak ke mana?”
“Nak ke tandas sekejap,”
Miskiah didudukkan di kerusi yang ada di ruang legar
itu. Kemudian Amirul meninggalkan tempat itu. Dia berbohong kepada Miskiah.
Bukannya dia ke tandas, tetapi ke sebuah kedai bunga. Semasa sampai di situ
tadi, dia sudah berhajat untuk masuk ke kedai itu. Dia ingin membeli sejambak bunga.
“Adik, boleh berikan yang ini,” tunjuk Amirul kepada
sejambak ros yang siap digubah cantik. Pembantu kedai segera membungkus bunga
yang ditunjukkan itu.
Selepas membayar, dia segera ke tempat Miskiah duduk.
“Mis, ini untuk Mis,” Amirul menyerahkan jambangan bunga
yang dibelinya.
“Apa ni? Untuk apa bunga ni, Mirul?” Miskiah meraba-raba
kuntuman bunga itu.
“Hadiah dari Mirul,”
“Hadiah untuk apa? Hari ni bukan hari lahir Mis,”
Diam. Amirul gugup untuk memberitahu. Dia ingin bersikap
romantis seperti pasangan lain. Namun, Miskiah telah membuatkan dia malu
sendiri.
“Mirul, kenapa beli bunga ni?”
“Hmm..saja.”
“Takkan saja-saja nak beli dan bagi pada Mis. Membazir
ni,” kata Miskiah sambil mengusap-usap kuntuman bunga itu. Hati Amirul pula
bergetar. Dia panik dan penasaran dengan kata-kata Miskiah itu.
“Mis, terima sajalah,” kata Amirul perlahan.
“Memang Mis dah terima, tapi Mis nak tahu bunga ini
untuk apa?”
“Mirul tahu Mis sukakan bunga, jadi Mirul belilah..”
“Hanya itu alasannya? Jadi kalau Mis sukakan gelang
emas, Mirul nak beli tak?” Giliran Miskiah pula menduga. Amirul menggaru-garu
kepalanya. Dia rasa serba salah. Dia kehilangan ayat untuk menjawab. Nasib baik
Miskiah tidak dapat melihat kegugupannya.
“Dahlah, mari kita balik. Hari nak hujan. Nanti kita
kebasahan pula,” kata Amirul cuba melepaskan diri. Miskiah tersenyum. Dia
bangun dan mencapai tongkatnya. Amirul pula sudah bersedia untuk memimpinnya.
Sepanjang jalan menuju ke perhentian bas, mereka
membisu. Amirul masih gugup dengan perasaannya. Sejak kecil dia bergaul dan
mengenali Miskiah. Dia tidak kekok membantu Miskiah samada di sekolah atau di
rumah. Namun kenapa sejak akhir-akhir ini dia gugup bila berdepan dengan
Miskiah.
“Mirul, kenapa diam sejak tadi. Mis ada buat salah ke?”
“Tak adalah. Mirul sedang fikirkan diri Mirul ni,”
“Kenapa dengan Mirul?”
“Kalau Mis dah kahwin dengan mat saleh, siapa nak teman
Mirul jalan-jalan macam ni?”
Miskiah tergelak. Kemudian dia mencubit lagi lengan
Amirul yang bersentuhan dengan lengannya. Dengan perlahan, Amirul
mengaduh.
Subscribe to:
Posts (Atom)