Tuesday 10 September 2013

DI MATANYA ADA CINTA - BAB 3

   

Kuala Sedenak. Petang.
Amirul berdiri merenung tanah yang gersang itu.  Tanah itu kosong. Itu tanah peninggalan nenek moyangnya. Kini ia menjadi miliknya. Dulu, ada beberapa batang pokok kelapa. Dulu masa kecil, dia selalu dibawa ayahnya untuk mengutip buah kelapa. Ada juga hasilnya. Kini, semua pokok kelapa itu telah tumbang akibat hakisan air laut. Akar-akar kelapa akhirnya tidak kuat untuk mencengkam bumi. Akhirnya, pokok-pokok kelapa yang dulu menjadi salah satu hasil pendapatan keluarga mereka tumbang menyembah bumi.
Angin kering dari laut yang terbentang luas itu menyapu wajahnya. Panas dan garing. Segaring hatinya ketika itu. 
“Orang semua dah jual tanah di kawasan itu, Mirul. Hanya kita yang tinggal,” kata Pak Nuar pagi tadi sebelum dia keluar ke bandar. 
“Kita tak akan jual, ayah. Itu saja harta yang kita ada,”
“Tapi, apa yang boleh kita buat dengan tanah itu? Dulu ada pokok kelapa. Dapat juga hasilnya. Sekarang? Daripada terbiar kosong, lebih baik dijual. Duit tu boleh juga kau buat modal buka bisnes,”
“Ayah, saya tak akan perjudikan nasib saya dengan tanah sekeping itu. Itu tanah pusaka. Itu kenangan arwah atuk untuk saya. Saya ada rancangan untuk usahakan tanah itu. Cuma saya perlukan sedikit masa,”
“Tapi..” kata Pak Nuar sedikit ragu-ragu.
“Ayah jangan terpengaruh dengan pujuk rayu dan kata-kata orang. Tanah itu hak kita. Kitalah yang akan buat keputusannya. Mereka tak boleh paksa kita..”
“Mirul, kata-katamu itu benar. Tapi, kita kena gunakan akal untuk berfikir. Mereka memang tak boleh nak paksa kita. Tapi, ayah melihat dari segi kederat kita. Sejak dulu pun kederat kita tidak cukup untuk usahakan tanah itu. Sekarang apa lagi. Ayah dah tua. Kau pula..” kata ayahnya sambil menelan air liur.
“Saya tahu keadaan saya ayah. Saya sedar siapa diri saya. Tapi saya belum putus semangat untuk terus berjuang,”
“Berjuang untuk apa?”
“Berjuang untuk diri saya. Berjuang untuk tanah ini dan berjuang untuk keluarga kita,” jawabnya dengan semangat.
“Mirul, jangan nak jadi Mat Jenin. Nanti kau akan diketawakan orang!” Suara Pak Nuar meninggi.
“Orang memang suka mentertawakan saya. Sejak kecil lagi saya memang dah diketawakan. Mereka ejek saya. Jadi, saya dah lali dengan semuanya. Saya akan buktikan kepada mereka nanti,” Amirul mengetap bibir. Dia tidak mahu mengalah dengan keadaan dirinya. 
“Nak buktikan apa?”
“Bahawa saya bukan Mat Jenin. Saya adalah Amirul bin Anuar yang tak gentar walaupun saya cacat,” jawab Amirul. Dia begitu yakin dan bersungguh-sungguh. Namun kata-katanya itu membuatkan Pak Nuar mengeluh. Dia seperti tidak yakin Amirul akan berjaya mengotakan impiannya. Dia tidak nampak keupayaan Amirul untuk mengusahakan tanah yang kering berpasir itu. Projek apa yang boleh dibuat?
Untuk bercucuk tanam, langsung tidak sesuai. Tanah itu bukan sahaja kering dan berpasir, malah punca airnya juga susah. Kalau hendak dibina chalet untuk disewakan, manalah ada modal. Lagipun, Amirul bukan orang yang sempurna. Dia OKU. Pelajaran pun tidak setinggi mana. Hanya setakat Sijil Pelajaran Malaysia sahaja.
“Ayah tak yakin dengan keupayaan saya kan?”
Diam. Mata Pak Nuar merenung awan. Dia cuba sembunyikan keraguannya. Kalau boleh dia tidak mahu Amirul tahu apa yang dirasanya.
“Percayalah ayah. Saya akan usahakan tanah ini seperti yang diwasiatkan oleh arwah atuk,” sambung Amirul, semakin bersungguh. Pak Nuar masih diam. Dia tidak tahu apakah perkataan yang sesuai untuk dikatakan agar Amirul tidak tersinggung hati. 
Amirul melepaskan keluhan, berat dan mendesah. Dia faham erti diam ayahnya. Perasaan ragu-ragu ayahnya itu memang tidak mustahil. Semua orang akan berperasaan begitu melihat keadaan dirinya.
“Aku mesti buktikan..” bisiknya perlahan. Namun bisikan itu membuatkan Pak Nuar menoleh dan merenung lembut ke arah Amirul. Ada gumpalan simpati di sebalik renungan itu. 
Amirul melepaskan pandangan ke arah tanah yang kering itu. Kenapa tiba-tiba tanah yang kering dan gersang itu menjadi rebutan? Sudah berpuluh tahun, tidak ada yang menjeling pada tanah itu dan tanah-tanah di sekitarnya. Kenapa baru sekarang mereka berminat untuk mengusahakannya?
Dia teringat pada pesan atuknya, “Mirul, atuk berikan tanah ini kepada Mirul. Atuk tahu tanah ini kurang subur dan kurang bernilai. Mungkin sekarang, ia tak bernilai. Tapi satu hari, ia akan menjadi rebutan. Jagalah tanah ini. Hanya ini yang atuk ada untuk Mirul,”
Dia ingin memijak tanah itu dengan kedua kakinya. Tapi dia tidak berkaki dua. Kakinya hanya satu. Hanya sebatang tongkat yang menjadi ganti kakinya. Tongkat itulah yang membantunya melangkah di bumi Allah ini.
Alhamdulillah, kerana dia diberi sebelah kaki. Ada orang terus tidak berkaki, tetapi masih mampu meneruskan hidup.
Dia mengepal segenggam tanah. Kemudian menciumnya.
“Tanah ini milikku. Ia akan kekal sebagai hakku. Ia tidak akan menjadi milik orang lain melainkan tetap jadi milikku!” ucapnya dengan semangat.
Daripada tanah pusaka di tepi pantai itu, Amirul berjalan pulang. Namun, seketika dia teringat untuk singgah di hujung kuala.
Di tepi kuala terdapat sebatang pokok kelapa yang sudah lama tumbang. Miskiah selalu duduk di situ. Walaupun Miskiah itu buta, namun dia suka duduk di situ sambil merenung ke langit seolah-olah dia mampu melihat keindahan langit.
Memang benar. Dari jauh dia nampak Miskiah duduk berjuntai kaki di atas batang kelapa yang tumbang itu. Amirul tersenyum senang.
Miskiah duduk dengan tenang. Seperti di situlah tempat yang paling indah dan damai.  Telinganya menangkap bunyi deruan ombak dari lautan berdekatan. Dia mendongak ke langit, menengadahkan wajah. Kata orang, awan ada di langit. Putih macam kapas. Kata orang lagi, burung akan terbang berkawan-kawan di celah awan. Dia ingin melihat awan itu. Dia ingin melihat burung-burung itu. Tangannya tergapai-gapai. Cantikkah?
“Mis, tengok apa tu?” tegur Amirul dari belakang.
Miskiah menoleh dan mencari-cari. Dia menadah kuping telinganya mencari arah suara Amirul.
“Mirul di sini,” Amirul menyentuh tangan Miskiah.
“Mis nak tengok awan. Mis nak lihat burung. Mis nak tengok matahari terbenam. Kata orang alam ini cantik. Mis nak tengok. Tapi..” suara Miskiah terhenti. Dia mendongak ke langit semula. Sejak kecil, Amirul selalu beritahu bahawa kalau kita mendongak ke atas di situ ada langit. Kalau kita tunduk ke bawah, di situ dipanggil bumi.
“Awan putih bertompok hitam hari ni. Ada tanda-tanda hari nak hujan. Burung pula memang sedang terbang berkawan-kawan. Dengarlah bunyi bising tu,” jawab Amirul seperti membuat laporan. Miskiah tersenyum senang. Amirul memang orang yang selalu setia dan rajin memberi maklumat.
“Apa yang mereka rebutkan ya Mirul?”
“Entahlah Mis. Nanti Mirul panggil ketua mereka dan siasat ya,” jawab Amirul cuba bergurau. Kemudian dia ketawa kecil.
“Beritahu dia, tolong amankan anak buahnya itu. Tolong jangan bergaduh dalam dunia yang kecil ini,” kata Miskiah dengan ketawa juga. Petang menjadi begitu ceria dan damai.
“Mana Mis tahu dunia ini kecil?” Amirul menduga.
Miskiah tidak segera menjawab. Sebaliknya dia mendongak ke langit sekali lagi. Gelap. Matanya tidak mampu melihat awan. Juga mentari petang. Juga burung-burung yang kata Amirul berterbangan pulang, berkawan-kawan. Kalau Amirul berbohong mengenai keadaan langit ketika itu, dia pun tidak tahu.
Hanya telinganya menangkap bunyi kicauan burung-burung. Kicauan burung yang banyak. Bukan seekor dua. Mungkin berpuluh-puluh. Mungkin juga beratus-ratus ekor. 
Amirul rasa bersalah. Soalan itu disangka telah menyentuh hati Miskiah.
“Mis, Mirul minta maaf..” kata Amirul perlahan.
“Kenapa nak minta maaf?” Serta merta Miskiah menoleh ke arah Amirul. Walaupun dia tidak melihat, tapi dia tahu Amirul ada di situ. Desir suara Amirul datang dari arah itu.
“Mungkin Mirul tersalah cakap,” jawab Amirul dengan nada kesal.
“Mirul tak salah. Mis yang selalu berkhayal jauh tanpa terfikir pada ketidak-upayaan Mis. Mis berkhayal melihat dunia. Mis mimpikan bunga-bunga yang cantik beraneka warna..” 
“Mis, seperti Mirul juga selalu berkhayal untuk  memakai kasut sukan atau sekurang-kurangnya capal kulit buatan tangan,” Amirul memotong cakap Miskiah. Dia tidak mahu Miskiah hanyut melayan rasa.
“Macam yang Mirul tengok di pameran barangan kulit di Plaza Angsana hari tu?” Miskiah bertanya dengan senyum. Mendung di wajahnya berubah rona. Hati Amirul lapang. Sejak kecil dia tidak suka melihat wajah Miskiah muram dan sedih. Dia sanggup melakukan apa saja asal Miskiah senyum dan ketawa.
“Mis boleh bayangkan kalau Mirul pakai kasut atau capal?” tanya Amirul.
“Macam mana Mis nak bayangkan? Melihat kasut pun Mis tak pernah. Macam mana Mis nak bayangkan, melihat kaki Mirul pun Mis tak pernah,” kata Miskiah. Ketawa Amirul pecah.
“Mirul yang cerita, kaki Mirul hanya satu. Tapi kalau Mis nak bayangkan kaki Mirul ada dua. Bolehkan?” tanya Miskiah.
Kali ini giliran Amirul terdiam. Dia tersedar dari sebuah kenyataan.
“Mirul, Mis minta maaf,” kata Miskiah perlahan.
“Untuk apa?” Amirul segera menatap wajah Miskiah.
“Mungkin kata-kata Mis tadi menyakitkan hati Mirul,” jawab Miskiah. Amirul segera mencubit lengan Miskiah.
“Kenapa pula ni? Sakit tau!” Miskiah menjerit, kemudian ketawa.
“Mis sengaja nak balas cakap Mirul tadi kan?”
“Taklah. Mis cakap yang benar,” balas Miskiah,
Ketawa mereka usai. Amirul melepaskan pandangannya ke arah laut. Ada sekumpulan bangau putih sedang mencari makan di tepi pantai. Ada  yang berterbangan. Sungguh cantik panorama alam.
“Mirul pun kadang-kadang kuat berkhayal. Melihat kasut yang cantik dan capal yang beraneka, membuatkan Mirul lupa pada kaki Mirul ini,”
“Tak apalah. Syukur kepada Allah kerana kita masih mampu berkhayal,” kata Miskiah, memujuk. Amirul tersenyum senang. Dia merenung wajah Miskiah. Dia senang dengan wajah itu.
“Mirul dari mana?” tanya Miskiah.
“Tadi Mirul ke bandar. Kemudian pergi melihat-lihat tanah Mirul di hujung sana tu. Siapa hantar Mis ke sini?” Amirul menjawab, kemudian menyoal.
“Mis datang sendiri. Bukannya jauh sangat kan?”
“Mis, berapa kali Mirul pesan jangan jalan sendiri. Cakap dengan Mirul kalau nak ke mana-mana,” Amirul bersuara tegas. Seperti sebuah arahan. Seperti juga sebuah amaran.
“Sampai bila Mirul nak jadi pengasuh Mis? Dari kecil, Mirul dah bersusah payah untuk Mis. Biarlah Mis cuba hidup berdikari. Satu hari pun kita akan berpisah, beri peluang Mis belajar dari sekarang,” kata Miskiah, minta pengertian.
“Berpisah? Mis nak ke mana?” tanya Amirul dengan curiga. Dia tidak sanggup membayangkan hidup tanpa Miskiah. Sejak dia mula mengenal dunia, hanya Miskiah orang yang paling rapat dengannya. Kalau Miskiah sudah tiada, entah apa yang akan jadi pada semangatnya. Selama ini dia bergantung semangat dengan Miskiah.  
“Yalah. Satu hari Mirul akan jadi suami orang. Ketika itu, mana boleh nak jaga Mis lagi,” ujar Miskiah, selamba. Dia sebenarnya ingin menduga Amirul. Dia ingin mencari kebenaran kata-kata Bik Suripah beberapa hari yang lepas.
Diam. Amirul menelan air liur. Dia ingin katakan bahawa dia tidak akan kahwin kalau bukan dengan Miskiah. Dia ingin ucapkan bahawa hati dan perasaannya tidak pernah terbuka untuk orang lain melainkan Miskiah.
Hanya Miskiah yang akan menjadi isterinya. Bermakna dia akan menjaga Miskiah sampai bila-bila selagi hayat dikandung badan. Tapi, mahukah Miskiah menjadi isterinya? Selama ini pun, mereka tidak pernah berbincang soal hati, soal perasaan dan apalagi soal kahwin!
Amirul terkising malu.
“Kenapa Mirul diam? Tak betulkah cakap Mis tadi?”
“Ya..ya..betul. Mis pun mungkin akan berkahwin dengan mat saleh tu dan tinggalkan Mirul,” jawab Amirul selamba.
“Tengok, dia nak berdalih pula,” kata Miskiah sambil tangannya meraba-raba mencari lengan Amirul. Ketika itu Amirul sudah menjauhkan dirinya dari Miskiah. Dia ketawa dan membiarkan tangan Miskiah tergapai-gapai mencarinya.
“Takut ya?”
“Taklah. Nah! cubitlah sepuas hati Mis. Mirul rela,” Amirul menarik tangan Miskiah dan meletakkan di lengannya. Miskiah mencubit lengan itu. Amirul mengaduh disertai tawa riang Miskiah.
“Mirul ke bandar buat apa?” tanya Miskiah selepas ketawa mereka usai.
“Ambil borang,”
“Borang apa?”
“Ada persidangan untuk orang-orang macam kita di Kota Bharu hujung bulan ini. Kita mesti pergi,” jawab Amirul dengan semangat.
“Macam mana Mis nak pergi. Tempat tu jauh sangat. Mirul sajalah yang pergi,” kata Miskiah. Dia rasa dia tidak patut menyusahkan Amirul.
“Tidak. Mirul nak pergi dengan Mis. Wak pun dah izinkan,” balas Amirul dengan tegas.
“Mirul, Mis tak upaya nak pergi ke tempat yang jauh-jauh,”
“Nak kira upaya, Mirul lagi tak upaya. Kaki Mirul bukannya kuat sangat untuk berjalan jauh-jauh,” balas Amirul pula.
“Kalau macam tu, tak payahlah pergi. Biarkan orang lain yang upaya saja pergi,”
“Dah tentu persidangan ini untuk orang kurang upaya, macam kita. Siapa orang yang upaya nak datang?” tanya Amirul pula. Miskiah ketawa. Dia rasa kelakar dengan ungkapan kata-kata Amirul.



.

No comments:

Post a Comment