Friday 6 September 2013

DI MATANYA ADA CINTA - BAB 1



City Square, Johor Bahru. 
Mereka berjalan beriringan. Mereka berjalan berpimpinan. Mereka beriring rasa. Mereka berpimpin harapan.
Namun bukan berpimpin tangan, tapi berpimpin tongkat. Amirul bertongkat kaki. Miskiah pula bertongkat tangan. Miskiah berjalan dengan langkah sempurna dalam dunianya yang gelap. Amirul pula berjalan dengan langkahnya yang tempang dalam dunia yang penuh warna alam.
“Kita dah sampai di City Square, Mis. Mis nak ke kedai mana?”
“Banyakkah kedai di sini?” tanya Miskiah dengan senyum, memperli.
“Macam-macam kedai ada. Mis nak pergi ke kedai cermin mata atau ke kedai bulu mata palsu?” jawab Amirul bergurau. Miskiah mengilai, ceria.
“Kan semalam, Mirul yang ajak Mis temankan Mirul ke kedai kasut?” Miskiah membalas gurauan itu dengan ketawa yang belum usai. Amirul tersenyum senang. Melihat wajah Miskiah ceria begitu, hatinya semakin diruntun sayang. 
“Mis nak beli apa?” Amirul bertanya selepas beberapa kedai sudah mereka lintasi.
“Mula-mula Mis nak ke kedai buku. Mis nak beli buku resepi,”
“Mis? Mirul serius ni! Mirul tak nak buang masa berpusing-pusing dan merayau tanpa tujuan di sini,” Amirul bersuara tegas. Dia melihat beberapa mata menjeling mereka. Mungkin dalam hati orang yang sempurna, ada rasa anih dan lucu melihat mereka. Itu yang difikirkan oleh Amirul.
“Eh! Bila pula Mis bergurau. Betullah. Memang dari rumah lagi, Mis dah niat nak beli buku masakan. Kenapa? Orang buta macam Mis tak boleh beli buku tu?” tanya Miskiah sambil menoleh ke arah desir suara Amirul.
“Jangan salah faham. Mirul tak kata macam tu. Cuma, macam mana Mis nak baca. Buku tu bukan dalam huruf braille. Buku tu untuk orang celik sahaja. Mis nak buat apa dengan buku tu?”
Miskiah senyum. Dia faham apa yang ada di hati Amirul. Dia mengerti erti keraguan itu.
“Mis nak belajar memasak,” jawab Miskiah selamba.
“Mis?”
“Kenapa? Orang buta tak boleh memasak?” Sekali lagi Miskiah menoleh.  
Amirul diam. Dia tidak mahu berdebat dengan Miskiah lagi. Dia bimbang akan mengeruhkan suasana mesra yang ada.  Tanpa berlengah, dia memimpin Miskiah dan berjalan ke arah sebuah kedai buku yang ada di situ. Tanpa disuruh juga dia memimpin Miskiah ke arah rak buku yang penuh dengan bermacam buku resepi.
“Mis nak cari buku resepi apa? Ada banyak ni,” kata Amirul.
Miskiah termenung dan berfikir. “Mirul tengok, ada buku resepi masakan barat tak?”
Amirul terteleng, hairan. Namun dia tidak berani untuk meluahkan rasa hairannya. Dia terus mencari buku yang Miskiah sebutkan.
“Nah, ini ada satu,” Amirul menarik tangan Miskiah dan meletakkan sebuah buku resepi berkulit keras ke atas tangannya.
Miskiah meraba-raba. Dia mendakap buku itu kemudian mengucupnya.
“Baiklah, Mis nak buku ni. Berapa harganya?”
Amirul membelek. “Dua puluh lima ringgit,” ujar Amirul. Miskiah tersenyum. Dia terus mengelek buku itu dengan wajah gembira.
“Mis nak beli buku apa lagi?”
“Buku belajar mengait,” jawab Miskiah, selamba.
“Mis, kenapa buku yang pelik-pelik yang Mis nak beli ni?” tanya Amirul dengan rasa pelik
“Apa peliknya? Itu buku untuk orang perempuan. Mirul mana tahu itu semua,” jawab Miskiah dengan ketawa kecil.
“Mis dah nak kahwin ke?” tanya Amirul dengan ketawa juga.
“Kahwin?”
“Yalah. Habis tu, Mis nak belajar memasak. Mis nak belajar mengait. Macam nak buat persediaan untuk berkahwin je..”
“Siapalah yang nakkan Mis ni. Rupa tiada miskin pula,” Miskiah seperti merintih. Hati Amirul tersentuh. 
“Mana tahu ada mat saleh yang nakkan Mis,”
“Mat saleh?” Miskiah hampir terjerit. Kemudian dia menutup mulutnya dari ketawa yang menyeringai.
“Habis tu, Mis nak belajar masakan barat. Mis nak belajar mengait. Zaman sekarang ni, yang pakai baju kait itu hanya orang putih. Sebab di negeri mereka sejuk, mereka perlukan baju tebal-tebal,”
“Sudahlah, jangan Mirul nak mengarut. Rupa mat saleh pun Min tak pernah tengok, apa lagi nak kahwin dengan mat saleh. Merapu je Mirul ni!”
Bhg2:
Amirul menyengih. Dia rasa kelakar membayangkan Miskiah berkahwin dengan lelaki mat saleh. Tapi sengihnya tidak lama. Tiba-tiba sengih itu hilang. Wajah Miskiah yang cantik itu direnungnya. Miskiah hanya buta. Lain-lain anggota tidak ada cacat cela. Dia gadis yang cantik dan berbudi bahasa. Kalau dia tidak buta, sudah tentu ramai anak muda kampung yang berlumba-lumba untuk mendapatkan cinta Miskiah.
“Mirul masih fikirkan mat saleh tu?” sergah Miskiah sambil meraba-raba lengan Amirul dan mencubitnya.
“Adui! Kenapa Mis cubit Mirul ni?”
“Mis nak sedarkan Mirul dari bermimpi di siang hari,”
“Kenapa?”
“Orang buta macam Mis ni, orang Melayu pun tak ada yang sudi inikan pula mat saleh. Lagipun, dah kurangkah lelaki Melayu, sampai Mis kena pilih lelaki asing? Atau memang lelaki bangsa sendiri tak suka pada gadis buta macam Mis ni..?”
“Suka..suka..” Dengan cepat Amirul menjawab. Dia menoleh ke kiri dan kanan, bimbang kalau ada yang mendengar kata-kata Miskiah itu.
“Siapa yang suka?”
“Mirul yang suka. Mirul suka Mis..” Tanpa segan, Amirul mengaku. Miskiah tersipu malu. Wajahnya berona cinta. Amirul semakin senang dengan rona itu. Dia merenung wajah Miskiah, lama.
“Kenapa Mirul renung Mis macam tu?” tanya Miskiah. Amirul gugup. Kemudian dia dihurung hairan.
“Macam mana Mis tahu Mirul renung Mis?” Miskiah terpinga-pinga.
“Mis agak saja. Jadi, betullah Mirul sedang renung Mis? Mirul ni suka ambil kesempatan,”
“Ambil kesempatan macam mana?”
“Mirul tahu Mis tak dapat melihat, Mirul curi-curi renung Mis. Mirul ni pencuri tau!” Miskiah mencari bahu Amirul untuk dicubit. Namun dengan segera, Amirul menarik tangan itu dan menyerahkan lengannya.
Miskiah mencubit, manja. Amirul tersenyum-senyum dengan cubitan itu.
“Tak sakit ke?”
“Sakit,”
“Habis, tak menjerit pun?”
“Kalau Mirul menjerit, Mis mesti kuatkan cubitan,” Amirul menjawab dengan ketawa. Miskiah juga ikut ketawa. Sungguh segar.
Sebuah buku belajar mengait dicapai dari rak.
“Nah ini bukunya, Mis,” Amirul menarik tangan Miskiah dan menghulurkan sebuah buku. Dengan cepat, Miskiah meraba-raba buku itu dengan kuntuman senyum 
“Mirul tengok, buku ni bagus tak?”
“Nampak macam bagus, sebab ada diajar semua dari awal hingga akhir. Gambar-gambar pun terang dan jelas. Senang nak belajar. Rasa macam Mirul pun boleh buat ni,” jawab Amirul sambil membelek-belek buku yang berwarna-warni itu.
“Kalau elok di mata Mirul, eloklah di mata Mis,” kata Miskiah pula.
“Kenapa macam tu?” Amirul sengaja menduga.
“Sebab mata Mirul tu dah jadi mata Mis sejak kita kecil lagi. Mis tahu semua warna alam kerana mata Mirul,” jawab Miskiah dengan jujur. Memang dia tidak berbohong. Dia berkata tulus. Sejak kecil, bersekolah dan dewasa dengan bantuan mata Amirul.
“Kalau macam tu, jomlah. Kita bayar dua buah buku ni,” ajak Amirul sambil menarik lengan Miskiah perlahan.
Miskiah akur. Rak-rak buku ditinggalkan untuk ke meja juruwang. Tidak lama kedai buku itu mereka tinggalkan. Langkah diatur keluar dari situ.
“Mis tunggu di sini sekejap. Jangan ke mana-mana. Tunggu sampai Mirul datang,” kata Amirul.
“Mirul nak ke mana?”
“Nak ke tandas sekejap,”
Miskiah didudukkan di kerusi yang ada di ruang legar itu. Kemudian Amirul meninggalkan tempat itu. Dia berbohong kepada Miskiah. Bukannya dia ke tandas, tetapi ke sebuah kedai bunga. Semasa sampai di situ tadi, dia sudah berhajat untuk masuk ke kedai itu. Dia ingin membeli sejambak bunga.
“Adik, boleh berikan yang ini,” tunjuk Amirul kepada sejambak ros yang siap digubah cantik. Pembantu kedai segera membungkus bunga yang ditunjukkan itu.
Selepas membayar, dia segera ke tempat Miskiah duduk.
“Mis, ini untuk Mis,” Amirul menyerahkan jambangan bunga yang dibelinya.
“Apa ni? Untuk apa bunga ni, Mirul?” Miskiah meraba-raba kuntuman bunga itu.   
“Hadiah dari Mirul,”
“Hadiah untuk apa? Hari ni bukan hari lahir Mis,”
Diam. Amirul gugup untuk memberitahu. Dia ingin bersikap romantis seperti pasangan lain. Namun, Miskiah telah membuatkan dia malu sendiri.
“Mirul, kenapa beli bunga ni?”
“Hmm..saja.”
“Takkan saja-saja nak beli dan bagi pada Mis. Membazir ni,” kata Miskiah sambil mengusap-usap kuntuman bunga itu. Hati Amirul pula bergetar. Dia panik dan penasaran dengan kata-kata Miskiah itu.
“Mis, terima sajalah,” kata Amirul perlahan.
“Memang Mis dah terima, tapi Mis nak tahu bunga ini untuk apa?”
“Mirul tahu Mis sukakan bunga, jadi Mirul belilah..”
“Hanya itu alasannya? Jadi kalau Mis sukakan gelang emas, Mirul nak beli tak?” Giliran Miskiah pula menduga. Amirul menggaru-garu kepalanya. Dia rasa serba salah. Dia kehilangan ayat untuk menjawab. Nasib baik Miskiah tidak dapat melihat kegugupannya.
“Dahlah, mari kita balik. Hari nak hujan. Nanti kita kebasahan pula,” kata Amirul cuba melepaskan diri. Miskiah tersenyum. Dia bangun dan mencapai tongkatnya. Amirul pula sudah bersedia untuk memimpinnya.
Sepanjang jalan menuju ke perhentian bas, mereka membisu. Amirul masih gugup dengan perasaannya. Sejak kecil dia bergaul dan mengenali Miskiah. Dia tidak kekok membantu Miskiah samada di sekolah atau di rumah. Namun kenapa sejak akhir-akhir ini dia gugup bila berdepan dengan Miskiah.
“Mirul, kenapa diam sejak tadi. Mis ada buat salah ke?”
“Tak adalah. Mirul sedang fikirkan diri Mirul ni,”
“Kenapa dengan Mirul?”
“Kalau Mis dah kahwin dengan mat saleh, siapa nak teman Mirul jalan-jalan macam ni?”
Miskiah tergelak. Kemudian dia mencubit lagi lengan Amirul yang bersentuhan dengan lengannya. Dengan perlahan, Amirul mengaduh.  

No comments:

Post a Comment